Friday, March 28, 2008

PM dikhabarkan pengaruhi Idris buat salah - Dr M

PM dikhabarkan pengaruhi Idris buat salah - Dr M
Abdul Halim Mohd Rashid
Fri | Mar 28, 08 | 1:13:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) -Rakyat Terengganu mengesyaki kesemua kontrak untuk melaksanakan projek-projek di negeri itu diberikan kepada orang tertentu yang mendapat sokongan anggota keluarga Perdana Menteri manakala Perdana Menteri pula dituduh mempengaruhi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh supaya "melakukan kesalahan", kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri mengaitkan rasa tidak puas hati tersebut dengan keengganan Sultan Mizan Zainal Abidin menerima perlantikan semula Idris sebagai Menteri Besar seperti yang cuba dipaksakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui pelbagai tindakan orang-orangnya yang disifatkan oleh Ketua Umno Bahagian Cheras sebagai "kurang ajar".

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata: "?Kita tunggu arahan daripada presiden (Abdullah). Apa saja yang presiden minta... apa yang dibuat sekarang pun adalah atas arahan presiden".

Mengulas lanjut mengenai keengganan Sultan Terengganu itu, Dr Mahathir berkata: "Mesti ada sebab mengapa Sultan enggan menerima calon yang dinamakan oleh parti. Tetapi baginda memilih untuk tidak menyatakan sebab-sebabnya dan mendedahkan diri kepada perdebatan umum.

"Baginda hanya menyatakan rasa tidak senang dengan keengganan baginda melakukan apa yang biasanya dilakukan oleh Sultan-Sultan".

Rakyat yang prihatin, katanya, mesti bertanya apakah kesalahan yang dibuat calon Menteri Besar tertentu sehingga mencetuskan kemurkaan Sultan.

Mengenai tindakan memberikan projek-projek kepada orang tertentu sahaja itu, bekas Perdana Menteri berkata, khabar angin juga menyatakan bahawa Idris bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku itu dan "sudah tentu, mereka fikir beliau mendapat faedah kewangan".

Malaysian Insider menyatakan, orang tertentu yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir itu ialah Datuk Patrick Lim.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyatakan Terengganu diperintah oleh menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan Patrick yang dinamakannya sebagai Patrick Badawi.

Khabar-khabar angin seterusnya menyatakan, kata bekas Perdana Menteri, Abdullah mungkin mempengaruhi Idris supaya "melakukan kesalahan".

Dr Mahathir membayangkan kesemua itu berlaku sejak Barisan Nasional (BN) memerintah kembali Terengganu.

Apabila BN memerintah kembali Terengganu, Wang Ehsan dibelanjakan secara berlebih-lebihan, kata Dr Mahathir.

"Ia bukanlah jumlah yang kecil. Sejak beberapa tahun ini, Wang Ehsan berjumlah beberapa bilion," katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh The Sun.

Sejak BN memerintah kembali Terengganu, katanya lagi, pelbagai jenis projek telah dilaksanakan di Terengganu termasuk Monsoon Cup, rumah-rumah mewah untuk dijual kepada orang asing, Masjid Kristal dan taman temanya, universiti dan lain-lain.

"Sebahagian projek tersebut sangat baik tetapi banyak yang tidak perlu dan membazir," kata Dr Mahathir.

Rakyat Terengganu pula, katanya, merungut kerana projek-projek yang berharga berbilion-bilion ringgit itu telah dikurniakan kontrak perlaksanaannya kepada orang-orang dari luar Terengganu.

"Kontraktor-kontraktor Terengganu tidak mendapat apa-apa," katanya.

Walaupun mengakui kesemua itu adalah khabar-khabar angin, tetapi dengan gaya menyindir Dr Mahathir berkata khabar-khabar angin angin itu tidak baik kepada kerajaan yang mahu menghapuskan rasuah dan bersifat telus.

"Bagaimanapun rakyat tidak mudah menerima penyiasatan agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan. Malah Suruhanjaya Diraja pun tidak begitu dihormati. Rakyat percaya, memanglah tidak benar, bahawa kerajaan masuk campur dalam kerja-kerja Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis dan Peguam Negara," katanya, sekali lagi dengan gaya menyindir.

Apabila seorang Timbalan Menteri dituduh menerima wang untuk membebaskan orang yang ditahan, katanya, Peguam Negara berkata tidak ada kes.

"Ia tidaklah mudah. Jika ada kes yang melibatkan seseorang (atasan), apa yang perlu dibuat oleh agensi penguatkuasa hanyalah bertanya sama ada beliau terlibat. Jika beliau berkata tidak, tidak ada keslah," katanya.

Menjangkakan penentang-penentangnya akan menuduh beliau melakukan perkara yang lebih buruk lagi, Dr Mahathir berkata beliau sedia disiasat walaupun oleh agensi luar negara.

No comments: