Tuesday, March 18, 2008

Abdullah umum "kabinet penyelamat" kekang pengaruh Najib

Abdullah umum "kabinet penyelamat" kekang pengaruh Najib
Lanjusoh
Tue | Mar 18, 08 | 4:56:29 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Mac (Hrkh) - Mungkinkah kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar digelarkan sebagai kabinet penyelamat bagi mengekang kemaraan Datuk Seri Najib Razak mencabar kedudukannya pada pemilihan Umno September depan.

Jelas kelihatan apabila Datuk Zaid Ibrahim bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu yang disingkirkan akibat percaturan kumpulan Najib, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum ini jawatan Zaid tidak dikembalikan selepas tempoh penggantungannya tamat, namun Datuk Fatmi Che Salleh yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri memangku jawatan itu.

Pemerhati politik juga melihat pelantikan Zaid sebagai benteng mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menyekat pengaruh Najib.

Begitu juga dengan pelantikan Datuk Shahrir Samad, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Dato? Noh Omar sebagai menteri penuh juga diharap dapat menjadi penangkis kepada serangan pembangkang.

Kabinet baru dilihat ramai pihak dibuat dengan tergesa-gesa bagi memastikan kumpulan Najib tidak bangkit bagi menghadapi pemilihan dalam Umno.

Selain itu ada berhujah pengecilan anggota kabinet dengan menggabungkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memandangkan BN tidak cukup orang untuk dilantik sebagai anggota kabinet.

Anggapan banyak pihak konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah kini semakin lesu juga terbukti apabila tidak ada lagi Menteri di Jabatan yang menjaga hal ehwal agama Islam selepas Datuk Dr Abdullah Mohd Zain yang menang di Besut tidak dilantik ke jawatan tersebut.

Cuma Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk berhadapan dengan anggota-anggota Parlimen PAS di Parlimen nanti.

Bagi bekas pensyarah kanan kuliyyah undang-undang UIA, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Perdana Menteri kelihatan tidak mempunyai ramai tokoh untuk diketengahkan dalam kabinetnya.

?Pelantikan sehingga enam pemimpin sebagai Senator bagi menduduki jawatan menteri dan timbalan menteri secara jelas BN ketandusan pemimpin.

?Antara mereka yang dilantik itu ada yang bermasalah termasuk berkaitan moral namun diketengahkan juga bagi menyelamatkan kabinet Perdana Menteri sekarang,? katanya di sini.

Dr Fadzli yang menang di Dun Temangan dan kini dilantik sebagai anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, Perdana Menteri kelihatan mahu membina imej sendiri selepas BN hampir ditolak majoriti rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Selain itu, katanya tidak ramai lagi lulusan agama diketengahkan dalam kabinet sekarang melainkan Dr Mashitah yang tidak lagi dicalonkan pada pilihan raya ini, namun dilantik semula.

Bekas pegawai kanan kerajaan, Che Abdullah Mat Nawi juga melihat Perdana Menteri mahu kabinetnya kelihatan bersih apabila tidak melantik semula pemimpin yang kontroversi sebelum ini.

Malah katanya, jawatan Setiausaha Parlimen tidak diwujudkan semula kerana BN kekurangan tokoh untuk diketengahkan selepas ramai tewas pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Sumber Umno pula memberitahu pertembungan antara Abdullah dan Najib semakin jelas sekarang apabila Perdana Menteri secara terang-terangan melenyapkan pengaruh Najib.

Katanya, biar pun Najib berulang kali menyatakan sokongan terhadap Abdullah namun ramai tidak yakin dengan kenyataan tersebut sehingga Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan menyekat kemaraan Najib.

?Apabila mereka tidak mempunyai jawatan dalam kabinet sudah tentu sukar untuk bergerak di peringkat bahagian untuk berkempen. Kabinet yang ada hari ini memberi isyarat jelas kepada Najib.

?Bagaimanapun sekiranya Najib tidak menggunakan peluang yang ada sekarang untuk merebut jawatan Presiden Umno, harapannya untuk menjadi Perdana Menteri semakin tertutup rapat,? ujarnya. - mj

No comments: