Wednesday, March 19, 2008

Nyawa politik KJ hilang hanya propaganda

Nyawa politik KJ hilang hanya propaganda
Abdul Halim Mohd Rashid
Wed | Mar 19, 08 | 1:33:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh) - Propaganda yang mendakwa nyawa politik menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin sudah hampir hilang sengaja dibiarkan menular di dalam media perdana serta halaman web pro-kerajaan seperti Malaysian Insider.

Menurut blogger Umno, A M Ubaidah S, tindakan tersebut dibuat untuk meredakan keyakinan rakyat bahawa Khairy mempunyai pengaruh yang besar ke atas kepada Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain tindakan tersebut, kata blogger yang dipercayai anak kepada bekas Setiusaha Agung Umno itu, keyakinan rakyat tentang pengaruh Khairy itu juga cuba diredakan melalui tindakan "mengelak dari melantik Khairy ke jawatan kabinet" dan "membenarkan Pemuda UMNO memutuskan supaya Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tidak dikenakan hukuman disiplin atas tindakan beliau menulis surat memohon perletakan jawatan Pak Lah sendiri".

Kesemua tindakan itu, kata Ubaidah, "menunjukan seolah-olah Khairy bukan faktor dalam pentadbiran kerajaannya sekarang".

"Perlantikan kabinet menunjukkan Pak Lah, dalam usaha mempertahankan hidup politiknya, sedia mengenepikan sedikit Khairy. Namun pengaruh Khairy terlihat kekal walaupun hanya ala-kadar.

"Mungkin perlantikan pada peringkat agensi-agensi kelak akan menonjolkan lagi tahap pengaruh Khairy pasca PRU-12; (sama ada) benarkah sudah dikekang, atau hanya sekadar wayang kulit sahaja beliau diketepikan dari kabinet," kata beliau.

Walaupun pemilihan kabinet Abdullah diakui oleh blogger Umno itu sebagai tepat dengan tujuan mempertahankan kedudukan Abdullah di dalam Umno, namun, katanya lagi, "Pak Lah mungkin terlalu sayangkan Khairy hingga tidak upaya beliau menidakkan pengaruh Khairy sama sekali".

Perlantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dilihat oleh Ubaidah sebagai bukti ketidakupayaan Abdullah menidakkan sama sekali pengaruh Khairy.

Wan Ahmad Farid memang terkenal dengan label "orang suruhan Khairy". Beliau sebelum ini semakin terkenal kerana "tragedi peluru hidup" di Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 September tahun alu.

Beberapa hari selepas perstiwa itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali menyatakan beliau bersedia mendedahkan penglibatan Wan Ahmad Farid dalam tragedi tersebut.

No comments: