Tuesday, March 18, 2008

Parti kalah, media jangan apikan sensitiviti perkauman

Parti kalah, media jangan apikan sensitiviti perkauman
Mat Zain Mat Isa
Tue | Mar 18, 08 | 1:41:21 pm MYT

Mujur juga sentimen perkauman yang cuba ditiupkan pihak tidak bertanggungjawab ekoran kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu tidak begitu disambut segmen terbesar rakyat negara ini. Meskipun berbagai usaha dan taktik dilaporkan telah digunakan bagi menggambarkan suasana seolah-olah tidak tenteram sejak parti-parti bukan BN mengambilalih beberapa negeri, usaha itu setakat ini gagal mencetuskan kacau-bilau yang barangkali mereka itu impikan.

Setelah gagal menyemarakkan ketegangan kaum dengan memutarbelitkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), pihak tidak bertanggungjawab itu dikatakan menyebarkan pula khabar angin kononnya negeri Pulau Pinang yang diperintah DAP kini dilanda kekecohan.

Usaha pertama pihak yang tidak berpuas hati dengan kekalahan teruk BN terutama kehilangan kerajaan Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah ke tangan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS ialah membangkitkan soal penguasaan kaum Cina dalam politik negara.

Penulis sendiri menerima mesej ringkas (SMS) dari seorang kenalan yang juga seorang aktivis Umno di Terengganu, sehari selepas keputusan pilihan raya diketahui. "Macamana? Puas hatilah demo orang PAS, Cina dah berkuasa di Utara", tulis mesej itu.

Oleh kerana penulis sering berjenaka dan berbahas secara ilmiah dengan kenalan itu, penulis sangka itu hanyalah satu lagi jenaka beliau.

Atas baik sangka, mesej itu penulis balas dengan nada menerang. "Penang je. Perlis kekal BN, Kedah PAS, Perak bercampur, Selangor PKR", penulis menjawab seraya mengingatkan beliau kepada fakta sebenar.

Ertinya bukan keseluruhan Utara Semenanjung yang diperintah kaum Cina. Penulis faham benar beliau merujuk 'Cina' itu kepada parti DAP.

Tidak disangka rupa-rupanya kenalan penulis itu ada niat menyerang. Reaksi beliau seterusnya sangat mengejutkan. Dia membalas, "Tapi DAP tu terang-terang Cinanya!".

Rasanya, bukan penulis seorang saja yang mampu memulangkan paku buah keras terhadap hujah itu. Semua tahu MCA dan Gerakan yang menjadi rakan kongsi Umno itu juga parti Cina.

Selama ini pun bukan Umno yang memerintah Pulau Pinang, tetapi Gerakan. Tak ada pula kita dengar Umno (apatah lagi PAS) membantah kaum 'Cina' menjadi ketua menteri? Kita rakyat Malaysia boleh menerima baik formula perkongsian kuasa digunapakai BN itu.

Memandangkan penulis tidak mahu hubungan antara kami semakin keruh, jawaban itu tidak diajukan kepada kenalan itu. Bagaimana pun penulis agak kecewa orang secerdik beliau tidak dapat merasionalkan kekalahan BN sehingga tergamak menafikan fakta sebenar.

Rupa-rupanya semacam sudah ada kesepakatan di kalangan aktivis Umno serata negara dalam memainkan sentimen tersebut. Rakan-rakan di Kelantan seketika kemudian memberitahu penulis mereka turut menerima mesej sindiran serupa daripada kenalan masing-masing yang merupakan aktivis Umno.

Seorang kenalan yang juga peguam di Dungun, Terengganu turut mengakui "diserang" dengan mesej serupa. Rakan-rakan aktivis PAS di Perak dan Selangor juga mengatakan turut diajukan sindiran serupa kawan-kawan mereka dari kalangan penyokong Umno.

Ertinya, mesej yang membawa sentimen serupa berkemungkinan diperkatakan di serata negara. Hujah mereka yang paling menggeramkan ialah, "BN kalah, Cina berkuasa, PAS gembira".

Pihak ini seakan mendapat peluang besar mengiyakan hujah mereka apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng membuka mulut mengenai DEB. Di dalam ucapan ringkasnya selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mac, Guan Eng dilaporkan menyifatkan DEB sebagai dasar yang menjadi punca 'kronisme, rasuah dan ketidakcekapan'.

Ucapan itu kemudiannya jelas diputarbelitkan stesen tv, diikuti media cetak keesokan harinya. Guan Eng didakwa mengisytiharkan kononnya kerajaan negeri pimpinan DAP tidak akan mengamalkan DEB.

Bertolak daripada laporan yang diputarbelitkan itu, segala-galanya kemudiannya diulas dan ditangani secara 'out of contact'. Dalam reaksinya pada keesokan hari, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran keras kepada Guan Eng agar tidak membuat kenyataan yang boleh menyemarakkan ketegangan kaum.

Reaksi beberapa pemimpin politik dan masyarakat Melayu turut dimuatkan akhbar beberapa hari berikutnya. Malangnya semua mereka, sama ada ahli politik, pengkaji ekonomi mahu pun tokoh akademik memberikan pandangan yang lari daripada perkara sebenar, bertitik-tolak daripada menerima bulat-bulat fakta yang dilaporkan media kroni BN.

Ekoran salah lapor dan salah faham yang wujud, maka sentimen perkauman itu berlanjutan ke bentuk demonstrasi dan bantahan. Difahamkan demonstrasi diadakan itu turut melibatkan para pemimpin Umno.

Kenyataan demi kenyataan kemudiannya secara jelas memanipulasi salah fakta itu untuk kepentingan politik BN, terutama Umno yang sudah hilang kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Sentimen yang cuba ditiupkan itu jelas tidak dikongsi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Dalam satu kenyataan disiarkan media pada 16 Mac, beliau mengingatkan rakyat negeri itu agar tidak menggunakan kaedah demonstrasi bagi menyuarakan pendapat dalam masyarakat berbilang kaum.

Guan Eng tampil memberikan penjelasan. Media kroni BN dipersalahkan kerana memutarbelitkan kenyataan beliau. TV3 ada menyiarkan semula, meskipun tidak sepenuhnya, ucapan sebenar Guan Eng mengenai perkara tersebut. Walau pun sekadar sepintas lalu dan tidak diulangsiar, pengamatan terhadap ucapan beliau itu tidak menjurus kepada maksud membatalkan pelaksanaan DEB secara mutlak.

Beliau lebih menekankan soal membebaskan pentadbiran kerajaan negeri daripada unsur-unsur negatif dan ketidakcekapan dalam pelaksanaan DEB, terutama rasuah, salahguna kuasa, pengagihan tidak adil dan seumpamanya.

Amat mendukacitakan apabila melihatkan corak dan gaya media utama negara sama ada cetak mahu pun elektronik melapor dan mengolah isu ini. Jika ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak diingini yang boleh disabitkan dengan apa yang didakwa sebagai penolakan DAP terhadap DEB itu, maka pihak paling bertanggungjawab memarakkan api ketegangan kaum itu ialah media arus perdana yang dikuasai kroni BN.

Salah lapor yang sengaja mahu memberikan gambaran negatif terhadap pemerintah baru Pulau Pinang itu bertitik tolak daripada kegagalan BN menerima hakikat kekalahan mereka yang amat memalukan itu.

Setelah usaha mengapikan sentimen kaum atas isu DEB itu reda, timbul pula usaha baru. Tersebar pula khabar angin, terutama menerusi SMS atau panggilan telefon kononnya Pulau Pinang sedang dilanda kekacauan.

Usaha jahat ini didedahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid. Menurutnya, pihak polis sendiri ada menerima panggilan telefon kononnya berlaku kekecohan di sekitar Pulau Pinang.

"Polis percaya khabar angin ini sengaja disebarkan pihak tertentu dengan tujuan untuk mengeruhkan keadaan yang aman tenteram," katanya, sebagaimana disiarkan akhbar hari ini (Selasa, 18 Mac).

Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan keselamatan, kita sentiasa berdoa agar perkara sedemikian tidak akan berlaku. Mohon dijauhkan Allah negara ini daripada sebarang keburukan seumpama itu.

Untuk itu, semua pihak, terutama pihak yang kalah dalam pilihan raya minggu lalu perlu belajar menerima hakikat kekalahan mereka. Media massa sebagai saluran informasi dan komunikasi rakyat pula jangan bertindak sebagai 'batu api' dengan memutarbelit fakta sebenar sehingga boleh mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat berbilang kaum.

Amaran Abdullah minggu lalu agar jangan dibangkitkan sentimen perkauman itu tidak sepatutnya ditujukan kepada DAP atau Guan Eng sahaja. Ia juga wajar dijadikan panduan dan had batasan media massa dalam melaporkan sebarang kenyataan atau kejadian.

Lebih utama lagi, amaran Abdullah itu sepatutnya dihayati ahli dan penyokong BN sendiri. Nampak sangat Umno/BN mendalangi khabar angin atau sentimen tidak sihat ini. Parti itu terlalu mengharapkan sesuatu yang dapat mengalihkan perhatian rakyat daripada terus membicarakan kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Sebab itu BN masih tercari-cari isu yang boleh dimanipulasi agar rakyat tidak menunggu lama untuk membenci parti-parti alternatif dengan harapan kepercayaan dan sokongan rakyat segera beralih semula kepada BN. - mns

No comments: