Wednesday, March 19, 2008

Kabinet baru Abdullah mengundang banyak kontroversi - Pemuda PAS

Kabinet baru Abdullah mengundang banyak kontroversi - Pemuda PAS
Nyza Ayob
Wed | Mar 19, 08 | 5:11:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berpendapat pembentukan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam akan banyak mencetuskan kontroversi dan tidak akan berjaya mengolah ketidakpuasan hati rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya lalu.

Jelasnya kekuatan kabinet hanya dapat dinilai melalui keseluruhan pelantikan kabinet tersebut dan bukan melantik individu yang tidak mempunyai kewibawaan dan kredibiliti.

"Pembentukan kabinet ini tidak menunjukkan satu pentadbiran yang kompeten. Nampaknya Abdullah masih lagi tidak belajar daripada kesilapan masa lalu. Daripada senarai Menteri dan Timbalan Menteri dalam barisan kabinet ini, masih ada yang dipertikai kewibawaan dan kredibilitinya.

"Pelantikan muka lama seperti Senator Tan Sri Muhammad Taib dan Zaid Ibrahim tidak menggambarkan 'kesegaran' dalam pembentukan kabinet baru," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu beliau juga mempersoalkan apakah relevan di sebalik pelantikan bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Jalil sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai hal-ehwal pembangunan wanita dan sosial, sedangkan Dato' Ng Yen Yen telah dipilih menerajui Kementerian berkaitan.

Katanya pelantikan Shahrizat itu jelas menunjukkan pembaziran kerana jawatan tersebut bertaraf menteri.

Sementara itu, menyentuh mengenai pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen dalam kabinet jelasnya, sebelum ini Ahli Parlimen di kalangan pembangkang meminta menteri sendiri hadir bagi menjawab soalan bagi kementerian masing-masing.

Jelasnya, pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen itu mungkin dibimbangi jika dikalangan wakil rakyat Barisan Nasional dilantik ke Kelab Penyokong Kerajaan, kumpulan penyokong kerajaan ini terlalu sedikit untuk berhadapan dengan kumpulan pembangkang yang ramai dalam Dewan Rakyat. - mns

No comments: