Wednesday, March 12, 2008

Aspek negatif DEB memang perlu diketepikan - Presiden PAS

Aspek negatif DEB memang perlu diketepikan - Presiden PAS
Intan Abdullah
Wed | Mar 12, 08 | 04:37:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak menyokong tindakan mana-mana pihak yang mahu menolak DEB sepenuhnya tapi mahu aspek negatif yang boleh mencetuskan rasuah, nepotisme dan ketidakcekapan diketepikan.

"Setakat ini, DEB telah disalahgunakan sehingga terjadinya amalan rasuah, penyelewengan dan unsur nepotisme yang berleluasa dalam kerajaan negeri itu sebelum ini.

"Justeru, kita telah meminta supaya semua wakil rakyat PAS agar mengisytiharkan harta mereka kepada umum untuk mengelakkan masalah seperti itu berlaku," katanya dalam Sidang Media di Pejabat Agung PAS,Jalan Raja Laut petang tadi.

Jelasnya, DEB mempunyai kebaikannya kepada rakyat namun Umno-BN telah mengkhianatinya.

"Kita kena teruskan apa yang baik seperti membela nasib orang melayu yang miskin dan tidak merampas harta orang bukan Melayu," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menjawab persoalan mengenai persoalan projek-projek yang masih dalam proses selenggaraan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno-BN.

"Kita akan teruskan projek-projek tersebut cuma kita berharap kerajaan pusat tidak menyekat pelabur yang datang dengan meniupkan berita negatif yang boleh menakut-nakutkan mereka," katanya lagi.

Ustaz Hadi juga mengulas mengenai isu kenyataan beliau yang dikatakan meminta agar Kedah melaksanakan undang-undang Hudud di negeri itu.

"Kenyataan tersebut adalah tidak tepat, saya minta stesen televisyen RTM dan TV3 menjemput saya untuk berdialog mengenai hal ini di khalayak umum bagi memberikan penjelasan yang sebenar kepada rakyat," tegasnya.

Bahkan ujarnya, setakat ini PAS yang pernah memerintah di Terengganu dan sehingga kini di Kelantan tidak melaksanakan undang-undang tersebut secara drastik dan menakutkan sebagaimana yang digembar-gemburkan ketakutan terhadapnya oleh pemimpin Umno-BN serta medianya.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi juga menyatakan bahawa tidak ada kerjasama yang dijalinkan antara PAS dengan BN sebagaimana yang disensasikan sekarang ini.

"Buat masa ini, saya tidak ada masa untuk kerjasama itu, dengan kesibukan memperkukuhkan kerajaan BA yang diperintah. Begitu juga, saya tidak dihubungi untuk membincangkan mengenai kewujudan kerajaan campuran," tambahnya.

Beliau juga menafikan wujud kerjasama secara rasmi dengan DAP sebaliknya hanya KeADILan sahaja yang mempunyai hubungan secara terus dengan parti itu.

"Kita menerima hubungan dengan KeADILan dan DAP untuk mempertahankan lima kerajaan yang sedang dibina, dan kita mengharapkan semua pihak boleh menerima keputusan ini ," tambahnya lagi.

Mengulas mengenai faktor kemenangan pembangkang dalam pilihan raya ke-12, Ustaz Hadi menekankan bahawa pengundi bukan Islam telah boleh menerima PAS sehingga boleh memberikan kemenangan kepada calon parti itu.

"Sebagai contoh, di parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang mempunyai 47 peratus pengundi Islam dan 53 peratus pengundi bukan Islam, telah mendapat majoriti terbesar daripada keseluruhan calon PAS yang dipertandingkan," katanya.

Jelasnya, tema Negara Berkebajikan yang dipilih PAS ternyata berupaya untuk menggamit sokongan pengundi bukan Islam, kerana konsep Negara Islam yang diperjuangkan sebelum ini telah sedia difahami oleh rakyat.

Beliau meminta kepada mana-mana pihak supaya tidak memainkan isu perkauman untuk mencetuskan kekecohan dan menimbulkan perpecahan pada pakatan pembangkang yang telah dibina.

"Saya meminta kepada rakan-rakan BA dan penyokong agar tidak membalas dendam. Yang kalah dan yang menang semuanya adalah rakyat negara kita," demikian ujarnya.

Beliau juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada para wartawan dan pengamal media yang telah memainkan peranan dalam memberikan laporan sepanjang pilihan raya ke-12 lalu.

"Walaupun berita tentang kita masuk hanya sedikit dan selalu tersasar daripada maksud asalnya, itulah wajah media Malaysia kita," ringkasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS berharap tidak ada usaha untuk memecah belahkan pakatan pembangkang dengan membangkitkan isu agama dan perkauman.

Beliau yang turut sama dalam sidang media tersebut menjelaskan mengenai isu tema manifesto PAS iaitu Negara Berkebajikan yang mendapat reaksi yang banyak daripada pemimpin Umno-BN yang kelihatan begitu cemas.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. - mns

No comments: