Wednesday, March 12, 2008

Faktor Mahathir punca menang - Mohamad Sabu

Faktor Mahathir punca menang - Mohamad Sabu
Abdul Halim Mohd Rashid
Sun | Mar 09, 08 | 7:46:07 am MYT

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - "Faktor Mahathir" adalah antara sebab kemenangan PAS dan parti-parti pembangkang lain di Kedah, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

"Faktor utama tidak dapat dinafikan lagi ialah kebangkitan pengundi-pengundi India dan Cina. Kebangkitan pengundi India dapat dilihat di beberapa kawasan seperti di Kulim dan Baling. Sikap mereka boleh dianggap faktor yang sangat penting.

"Kebangkitan pengundi Cina pula boleh dilihat kepada apa yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan misalnya, di mana calon kita, Mohd Nasir Mustafa menang," katanya.

Tetapi, kata Mohamad Sabu, satu lagi faktor penting ialah protes rakyat Kedah terhadap apa yang dilakukan oleh para pemimpin Umno kini terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mengapa dalam banyak kawasan di Kedah, peratusan yang keluar mengundi begitu rendah? Saya menjangkakan mereka adalah pengundi-pengundi Melayu yang tidak mahu mengundi Barisan Nasional kali ini tetapi tidak juga bersedia memberikan undi kepada pembangkang.

"Akhirnya mereka mengambil keputusan tidak keluar mengundi," katanya.

Malah, kata beliau lagi, faktor Mahathir bukan sahaja menyumbangkan kemenangan di Kedah.

"Kritikan-kritikan Dr Mahathir sebenarnya banyak membantu kemenangan pembangkang di seluruh negara. Kita mengkritik kerajaan lebih dari beliau lagi, tetapi apabila orang yang mengangkat (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) sendiri memberikan undi tidak percaya kepadanya, bagaimana rakyat hendak percaya," katanya.

Mohamad Sabu tewas di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, walaupun ketiga-tiga kawasan DUN di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh PAS.

Diminta mengulas kekalahannya itu, Mohamad Sabu berkata, walaupun beliau kalah beliau tetap gembira kerana penat lelahnya boleh dianggap berbaloi dengan kemenangan ketiga-tiga DUN tersebut.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kekalahannya itu.

Bagaimanapun, analisa awal jentera pilihan raya Kuala Terengganu menyifatkan kira-kira 900 undi pos dan faktor calon luar adalah antara punca kekalahan beliau.

Mohamad Sabu disepakati sebagai penggerak utama kebangkitan rakyat 10 November 2007 lalu. Beliau ialah Pengarah Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat anjuran Bersih itu.

No comments: