Wednesday, March 12, 2008

Tiada masalah timbul antara DAP, KeADILan dan PAS di Kedah - Tian Chua

Tiada masalah timbul antara DAP, KeADILan dan PAS di Kedah - Tian Chua
Intan Abdullah
Wed | Mar 12, 08 | 4:53:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Tiada masalah yang timbul antara KeADILan dan DAP dalam peruntukan satu kerusi kepada DAP dalam kabinet kerajaan Kedah yang disepakati antara PAS, KeADILan dan DAP.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua yang menyatakan bahawa tidak ada isu yang berbangkit mengenai perlantikan tersebut.

"Semuanya telah selamat diselesaikan, selepas upacara angkat sumpah. Tiada masalah antara PAS, KeADILan dan DAP," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tegasnya, hal tersebut sengaja disensasikan oleh pihak yang sengaja mahu mencetuskan isu yang tidak wujud.

"Saya sedar terdapat banyak usaha untuk memecah belahkan pakatan tiga parti ini kerana iri hati dengan kemenangan yang telah dicapai.

"Namun, saya tetap percaya dengan muafakat dan kematangan kepimpinan ketiga-tiga parti ini akan berjaya mengatasi cabaran di peringkat permulaan ini," ujarnya lagi.

Kabinet Kerajaan Kedah telah selesai dibentuk dengan satu jawatan Exco dikhususkan untuk wanita, iaitu Adun PAS daripada Merbau Pulas Aishah Ghazali.

Enam lagi Adun Pas yang dilantik ialah Ir. Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Mohd. Taulan Mat Rasul (Tokai), Ir. Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Dr. Hamdan Mohamed Khalib (Tanjong Dawai), Abdullah Jusoh (Pantai Merdeka) dan Dr. Ismail salleh (Alor Mengkudu).

Tiga Adun KeADILan pula terdiri daripada Adun Bebas yang menyertai parti berkenaan, V. Arumugam (Bukit Selambau), Mohd. Razhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Xu (Bakar Arang).

No comments: