Thursday, March 13, 2008

Khalid belum sedia cadangkan nama Timbalan Menteri Besar Selangor

Khalid belum sedia cadangkan nama Timbalan Menteri Besar Selangor
Intan Abdullah
Thu | Mar 13, 08 | 7:49:56 pm MYT

SHAH ALAM, 13 Mac (Hrkh) - Setelah selesai teka-teki mengenai siapa penyandang jawatan Menteri Besar Selangor, sekarang perlantikan timbalannya pula menjadi tanda-tanya.
Sehingga kini belum ada keputusan dibuat di pihak Sultan Selangor, manakala Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula tidak mengemukakan sebarang nama kepada baginda.

Dalam satu sidang media setelah selesai upacara mengangkat sumpah Menteri Besar di Istana Kayangan, Shah Alam, petang tadi, Khalid menafikan dakwaan bahawa pihak Istana Selangor hanya memihak kepada satu kaum sahaja.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa berita tersebut adalah tidak benar kerana sehingga kini saya belum menasihati Sultan tentang perlantikan Timbalan Menteri Besar," ujarnya yang juga merupakan Menteri Besar Selangor ke-14 dilantik setakat ini.

Beliau menggantikan Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo selepas pakatan PAS, DAP, KeADILan menguasai majoriti kerusi Dun Selangor dalam pilihan raya umum lalu. KeADILan memperolehi 15 kerusi, DAP 13 dan PAS lapan kerusi.

Begitupun, ujarnya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan akan bertindak mengikut budi bicara baginda dalam perkara berhubung adat istiadat Melayu.

"Maka saya sebagai Menteri Besar Selangor mempunyai tanggungjawab untuk membantu dalam melaksanakan fungsi tersebut.

"Oleh yang demikian, jika Timbalan Menteri Besar dilantik, maka adalah sewajarnya orang yang dilantik itu berbangsa Melayu dan beragama Islam," katanya.

Dalam pada itu, kata Khalid, beliau telah diminta oleh pihak istana agar tidak melakukan rombakan secara drastik dalam struktur pentadbiran negeri termasuk terhadap projek-projek yang sedang dilaksanakan.

"Pihak Tuanku meminta supaya tidak berlaku pertukaran jawatan secara mendadak di kalangan pegawai kanan serta kakitangan kerajaan yang dikhuatiri akan menjejaskan perjalanan sistem pentadbiran kerajaan negeri ketika ini," ujarnya.

Anggota Exco kerajaan Selangor baru katanya akan dibentangkan sebelum 22 Mac ini kepada umum setelah beliau diberikan tempoh seminggu oleh pihak istana.

Jelasnya, pihaknya akan memperhalusi kabinet baru yang akan merangkumi semua wakil daripada ketiga-tiga parti dalam kerajaan campuran ini.

"Saya hanya akan mencadangkan nama-nama anggota exco sahaja. Biar Sultan sahaja yang membuat keputusan untuk memilih siapa Timbalan Menteri Besar," tegasnya lagi.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan bahawa pihak Sultan memandang berat mengenai kelancaran perkhidmatan serta pentadbiran awam sebagai nadi penggerak utama kerajaan.

"Kita akan bentangkan aktiviti kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu termasuk tawaran-tawaran yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya sebelum ini," katanya.

Jelasnya, semua perkara tersebut perlu diteliti dan dilaksanakan secara strategik dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa memandangkan tempoh untuk menjalankannya adalah selama empat atau lima tahun sahaja.

"Perkara pertama yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Selangor pada penggal ini adalah untuk memberikan keyakinan kepada barisan kabinet yang baru untuk meneruskan pembangunan negeri.

"Untuk itu, kita akan mengelakkan perbelanjaan operasi yang berlebihan, sebagai MB saya akan mencadangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri agar menjaga kos operasi kerajaan.

"Saya juga tidak perlu kepada kereta baru dan saya tidak akan menambah bilangan exco kerajaan seperti sebelum ini," ujarnya.

Tegasnya lagi, perkara awal yang dibuat ini selain untuk memperkukuhkan kerajaan yang bakal berkhidmat kepada rakyat, ia adalah untuk memastikan proses transisi atau pertukaran kerajaan BN sebelum ini kepada kerajaan Barisan Alternatif berjalan dengan baik dan lancar.

"Ia penting untuk membolehkannya menjalankan fungsi dengan cepat untuk meneruskan kesinambungan pembangunan agar dinikmati oleh rakyat.

"Inilah cabaran kepada kerajaan yang baru dibentuk," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo yang tidak kelihatan pada majlis berkenaan, katanya, ia suatu perkara biasa yang diamalkan selama ini. Majlis berkenaan juga tidak dihadiri Adun-Adun lain.

Bagi pihak rakyat, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada pakatan Barisan Alternatif yang dipilih menerusi pilihan raya umum lalu.

"Saya berhutang kepada pengundi yang memilih kami sebagai kerajaan, dan saya akan laksanakan sebaik mungkin," ringkasnya.

Turut hadir dalam majlis ringkas tersebut adalah wakil pakatan kerajaan campuran iaitu PAS dan DAP yang terdiri daripada Dato' Dr Hasan Ali serta Teresa Kok.

No comments: